Pengenalan
Air kencing terbentuk di dalam buah pingggang mengalir melalui struktur tiub yang dipanggil ureter ke pundi kencing sebelum dikeluarkan. Batu karang atau kalkuli boleh ditemui di mana saja pada buah pinggang, ureter atau pundi kencing. Di Malaysia batu karang biasa ditemui di bahagian atas saluran kencing ( buah pinggang dan ureter). Kekerapan batu karang ini adalah 10%-20% di Asia berbanding dengan 15%-18% di negara barat. Terdapat beberapa jenis batu karang, antaranya ialah kalsium oxalate, asid urik dan cystine. Batu jenis struvite pula terdiri daripada magnesium, ammonia dan fosfat bercampur dengan karbonat. Ini dikenali juga sebagai batu jangkitan. Di Malaysia, batu jenis kalsium oxalate, asid uric dan batu jangkitan biasa di temui.
Gejala dan Tanda
Batu karang di buah pinggang biasanya tidak menyebabkan kesakitan dan mungkin ditemui secara tidak sengaja semasa pemeriksaan ultrasound atau x-ray abdomen untuk sebab-sebab yang lain. Batu yang kecil mungkin boleh keluar tanpa rasa sakit atau mungkin menyebabkan rasa sakit yang teramat sangat daripada belakang hingga ke kemaluan dengan rasa mual dan muntah yang biasanya disebut sebagai 'Renal Colic'. Ini berlaku apabila batu itu bergerak melalui saluran ureter yang sempit yang mengecut untuk mengeluarkannya. Setengah pesakit akan merasa sakit yang tajam pada testikel mereka atau sepanjang zakar mereka semasa kencing. Mereka biasanya dapat mengesan adanya darah di dalam air kencing.
Batu yang lebih besar yang tidak boleh keluar dengan sendiri mungkin tersekat di dalam ureter dan menyebabkan halangan. Ini akan menyebabkan sakit yang berterusan dan mungkin demam jika terdapat jangkitan kuman. Biasanya pesakit batu karang di buah pinggang akan merasa sakit dan sengal-sengal di belakang. Sakit ini tidak dipengaruhi oleh pergerakan atau perubahan postur yang biasanya disebabkan oleh sakit yang berpunca dari tulang ataupun otot.
Komplikasi
Batu karang di buah pinggang atau ureter akan menyebabkan halangan. Ini akan mengundang jangkitan kuman pada buah pinggang dan dalam kes yang teruk pembentukan nanah. Jangkitan ini boleh merebak ke dalam darah dan pesakit akan jadi sangat teruk kerana urosepsis. Ini adalah kecemasan dan pesakit tersebut perlu rawatan dengan antibiotik dan halangan tersebut perlu di atasi dengan memasukkan tiub ke dalam ureter untuk melepasi ureter atau memasukkan tiub ke buah pinggang untuk mengalirkan air kencing yang dijangkiti kuman. Halangan yang kronik akan merosakkan buah pinggang dan jika berlaku pada kedua-dua buah pinggang pesakit tersebut akan mengalami kegagalan buah pinggang. Jika ada batu karang, tetapi tidak menghalang aliran air kencing juga boleh menyebabkan jangkitan yang berulang-ulang yang di namakan Pyelonephritis.
Begitu juga dengan batu karang di pundi kencing boleh menyebabkan jangkitan kuman. Batu ini boleh menjadi penghalang dengan tersekat pada pangkal pundi kencing, di bahagian pundi kencing bersambung dengan urethra iaitu saluran kencing di dalam zakar, atau di dalam urethra sendiri. Dalam situasi ini, pesakit tersebut akan menghadapi kesukaran membuang air kecil dan terdapat pengumpulan air kencing. Jika ia berlaku untuk tempoh yang lama tekanan kebelakang mungkin akan memberi kesan kepada ureter dan buah pinggang yang akan menyebabkan kegagalan buah pinggang. Otot pada pundi kencing yang gagal mengeluarkan halangan tersebut akan meregang dan kemudiannya menjadi kegagalan otot. Ini adalah penting kerana pesakit mungkin tidak dapat mengeluarkan air kencing dari pundi kencing biarpun batu tersebut telah dikeluarkan.
Dalam kes yang jarang berlaku, terdapat gangguan berterusan oleh batu karang pada permukaan dalam pundi kencing dan akan menyebabkan kanser.
Rawatan
Kebanyakan batu karang yang kurang dari 4mm akan keluar dengan sendiri. Tetapi pesakit akan memerlukan intervensi/rawatan jika batu itu tidak keluar selepas tempoh pemerhatian dan berterusan menyebabkan kesakitan. Batu tersebut mungkin akan membesar atau menyebabkan komplikasi seperti halangan dan jangkitan. Kadangkala batu karang tersebut tidak menyebabkan kesakitan tetapi menyebabkan fungsi buah pinggang semakin teruk. Rawatan batu karang ini bergantung kepada lokasi, saiz dan jenis batu karang tersebut.
Pembedahan Terbuka
Ini jarang dilakukan sekarang kerana kebanyakan batu boleh dikeluarkan dengan cara yang lebih mudah. Untuk pesakit yang mempunyai batu karang yang besar, ia masih lagi menjadi pilihan. Kadangkala apabila buah pinggang dengan batu karang ini menjadi berparut dan tidak berfungsi dengan baik, ia akan dikeluarkan. Masih lagi ada peranan pembedahan terbuka untuk membuang batu karang yang besar.
Pencegahan
Apabila pesakit telah ada batu karang, dia mempunyai risiko untuk pembentukan batu karang lagi. Pesakit dinasihatkan untuk meminum sekuarng-kurangnya 2-3 liter air untuk memastikan diri mereka cukup air dan mencairkan air kencing mereka. Panduan yang baik ialah apabila kencing, warnanya jernih seperti air. Nasihat ini lebih penting kita di iklim panas ini.
Perubahan dalam pemakanan mungkin diperlukan untuk mencegah pembentukan batu karang. Diet yang kaya dengan protein mungkin akan meningkatkan pengeluaran kalsium oxalate dan asid urik dalam air kencing. Pesakit yang mempunyai batu karang jenis asid urik dinasihatkan untuk mengurangkan makanan yang kaya dengan purine seperti daging merah, makanan laut dan alkohol. Tidak ada halangan untuk mengambil makanan tenusu yang kaya dengan kalsium untuk mencegah batu karang jenis kalsium, tetapi biarlah bersederhana. Makanan seperti coklat, kopi dan bayam kaya dengan oxalate dan patut dikurangkan pengambilannya untuk mereka yang berulangkali membentuk batu karang jenis oxalate. Dalam keadaan lain pesakit mungkin perlu mengambil ubat untuk mencegah pembentukan batu karang jenis kalsium dan asid urik. Ubat allupurinol mungkin berguna bagi yang masih mempunyai masalah batu karang jenis asid urik biarpun dengan mengawal makanan. Ini biasanya dengan kombinasi ubat untuk mengurangkan keasidan air kencing.
Sumber : http://www.myhealth.gov.my